KUCHING: Kerajaan Sarawak berharap Brunei dan Indonesia dapat memberi keputusan segera berhubung prosedur operasi standard (SOP) kemasukan ke negeri ini menerusi jalan darat melibatkan negara berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu penting bagi mengekang penularan Covid-19 serta membolehkan kegiatan ekonomi dapat dijalankan semula.
"Kami masih dalam perbincangan mengenai SOP yang dipersetujui. SOP yang diguna pakai sekarang akan diteruskan namun, kita berharap kedua-dua negara berkenaan memberi keputusan dalam tempoh terdekat ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau persediaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) melakukan persiapan pembukaan sempadan Sarawak mulai 1 April ini di sini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, bagi penduduk Sarawak yang datang dari Singapura, Kuala Lumpur dan negeri lain tidak memerlukan SOP sekiranya ingin masuk ke negeri ini.
Bagi penumpang antarabangsa katanya, yang datang dari Singapura akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu orang yang tinggal di Singapura datang ke Sarawak.
Menurut Uggah, golongan kumpulan tersebut perlu mendaftar menerusi Mysejahtera dan membuat ujian pra-berlepas dan apabila tiba ke Kuching, mereka tidak perlu menjalani ujian semasa ketibaan.
"Tetapi bagi satu lagi kategori iaitu mereka yang transit dari luar negara seperti dari London, Australia, Jerman, Jepun atau di mana-mana sahaja, kumpulan ini dikehendaki mendaftar MySejahtera dan melakukan ujian pra pelepasan dua hari sebelum berlepas.
"Apabila mereka tiba di LTAK atau lapangan terbang Miri, mereka dikehendaki melakukan ujian ketibaan menggunakan ujian RTK antigen (RTK-Ag) profesional. Sekiranya ujian mereka positif Covid-19, kita sudah ada SOP bagaimana untuk mengendalikan keadaan itu nanti," katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti